Saturday, May 31, 2014

57 pelajar pendidikan khas sertai kem motivasi

SETIU ‐ Seramai 57 pelajar pendidikan khas dari tiga sekolah di Terengganu menyertai Kem Pelestarian Sahsiah Pelajar Pendidikan Khas (Masalah Pendengaran) bagi mempertingkat ilmu dan motivasi mereka. 

Program empat hari di Agro Resort bermula Selasa ini anjuran Persatuan Orang Pekak Terengganu (POPT) itu disertai pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu; SMK Sura, Dungun dan SMK Tembila, Besut. 

Presiden POPT Tengku Arman Haris Tengku Ismail ini kali pertama program seumpananya diadakan kerana sebelum ini,pihaknya hanya membantu komuniti pekak dewasa sahaja. 

"Kali ini kita bawa dua motivator iaitu Chong Vee Yee dan Muhammad Adam Mahadi, yang juga mengalami masalah pendengaran, untuk berkongsi pengalaman mereka yang dapat melanjutkan pelajaran hingga ke luar negara. 

"Melalui perkongsian pengalaman ini, kita mahu pelajar yang mengalami masalah pendengaran ini akan lebih bersemangat untuk belajar dan kita mahu mereka lebih berkeyakinan dan lebih bersemangat untuk belajar dan seterusnya mengikut jejak langkah dua insan yang kita bawa ini," katanya kepada pemberita dengan bantuan jurubahasa di sini hari ini. 

Tengku Arman berkata setakat ini, sejumlah 413 orang pekak dewasa sudah berdaftar dengan persatuan itu. 

Vee Yee, 31, adalah graduan Universiti Gallaudet di Washington dan kini bertugas di sebuah syarikat swasta selain menyambung pengajian di Universiti Malaya manakala Muhammad Adam, 28, merupakan graduan Institut Teknologi Rochester di New York. 

Seorang peserta, Muhammad Asraf Izudin Mohd Rosdi, 18, dari SMK Ibrahim Fikri berkata beliau bersyukur dan berterima kasih kepada POPT yang menganjurkan program itu. 

"Pelbagai pengalaman yang saya dapat melalui program ini dan saya rasa lebih bersemangat untuk belajar apabila melihat kedua‐dua abang yang menjadi motivator telah berjaya ke menara gading... saya juga mahu ikut jejak langkah mereka. 

"Saya juga mahu membuktikan kepada orang lain, mempunyai masalah pendengaran bukan penghalang untuk saya berjaya dalam hidup," katanya. ‐ Bernama 


No comments:

Post a Comment